Isnin, 22 Mei 2023 | 1:56pm

Penjual ikan ditahan bersama dadah lebih RM3.6 juta

KUALA LUMPUR: Taktik seorang penjual ikan menjadikan sebuah kondominium dan banglo sekitar Lembah Klang sebagai stor penyimpanan dadah, sebelum mengedarnya dengan kereta mewah terbongkar selepas ditahan pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata polis melancarkan Op Snakewood bermula jam 8.20 hingga 10.40 malam dalam serbuan pertama terhadap sebuah kondominium di Selayang sebelum menahan suspek berusia 41 itu.

"Hasil tangkapan itu, polis menemui 10 biji pil ekstasi yang disembunyikan dalam beg silang dipakai suspek.

"Susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan kedua sebelum merampas pil ekstasi dan eramin 5 seberat 20 kilogram dalam kereta Mercedes Benz yang di parkir kondominium sama," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, susulan daripada itu, polis melakukan serbuan ketiga di sebuah rumah di Batu Cave, Selangor yang dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan dadah dan menjumpai pil eramin 5 seberat 58 kg.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 77 kg pil erimin 5 dan 760 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM3.2 juta yang boleh menampung 250,000 penagih.

"Dalam operasi itu, polis menyita harta milik suspek membabitkan wang tunai berjumlah RM21,000; dua kereta Mercedes Benz dengan nilai semasa RM350,000 dan Perodua Alza dianggarkan bernilai RM40,000.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta adalah RM3.6 juta," katanya.

Shuhaily berkata, berdasarkan modus operandi, suspek mendapatkan bekalan dari luar negara dengan menjadikan kenderaan serta kediaman mewah sebagai stor simpanan sebelum diedarkan bagi pasaran sekitar Lembah Klang.

"Polis percaya suspek mula bergiat menjalankan kegiatan itu sejak Januari lalu disebabkan desakan hidup sebagai penjual ikan.

"Kita juga sedang menyiasat rangkaian sindiket berkenaan kerana dipercayai suspek baru sahaja bermula dalam kegiatan itu, namun sudah mendapat bekalan yang begitu banyak," katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek berkenaan tiada rekod jenayah, manakala saringan kencing mendapati suspek positif amphetamin.

"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Mei bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain, menunjukkan sebahagian daripada rampasan yang dibuat polis selepas menahan seorang penjual ikan yang mendalangi pengedaran dadah di ibu kota. - NSTP/Amirudin Sahib
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain, menunjukkan sebahagian daripada rampasan yang dibuat polis selepas menahan seorang penjual ikan yang mendalangi pengedaran dadah di ibu kota. - NSTP/Amirudin Sahib
Berita Harian X