KUALA LUMPUR: Bangunan lama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, sekali lagi terbakar selepas kejadian pertama pada Februari 2018.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.39 pagi tadi dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
Lebih 20 anggota dikerah ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7, BBP Serdang, BBP Puchong, BBP Pantai Dalam dan BBP Hang Tuah.
"Bangunan terbakar berkenaan hanya membabitkan tingkat 4 dan tingkat 5. Kami dapat mengawal api jam 11.08 pagi hari ini.
"Alhamdulillah, bangunan KWSP lama itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.
Hafisham berkata, bangunan KWSP berkenaan telah dikosongkan sebelum ini dan kini sedang diubah suai.
Setakat ini siasatan mendapati hanya peralatan kontraktor yang terbakar dalam insiden berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP mengesahkan kejadian itu.
"Bangunan itu kini kosong dan tidak berpenghuni dan tiada kecederaan dilaporkan buat masa ini," menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.