Jumaat, 19 Mei 2023 | 5:14pm

Guru tak mengaku salah tuduhan seksual terhadap murid

ALOR GAJAH: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan jenayah seksual terhadap seorang murid lelaki selain memiliki video lucah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafiz Ab Ghani, 39, mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menerusi WhatsApp di Pegoh pada 10.53 pagi, 30 Jun 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017) yang membawa hukuman penjara tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Hafiz didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama dengan cara meraba punggung mangsa di sebuah sekolah rendah di Pegoh, pada 25 November 2021, jam 9.40 pagi.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017, jika disabitkan boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menyimpan video lucah di dalam telefon bimbitnya dan berdepan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Tambun Perdana, di sini, pada 2 Disember 2021, jam 12.30 tengah malam.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin kerana tertuduh pernah dituduh atas kesalahan sama sebelum ini.

Peguam bela tertuduh, Muhamad Nazri Abdul Hamid merayu jaminan rendah kerana anak guamnya kini bertugas sebagai pembantu pengurusan pentadbiran di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.

Katanya, tertuduh menanggung isteri dan lima anak berusia sebulan hingga 10 tahun dengan pendapatan RM4,000 sebulan selain menanggung ibu bapa yang sakit.

"Tertuduh memberikan kerjasama penuh sejak kes disiasat pada 2021 yang mana ketika itu dia bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Pegoh sebelum dipindahkan ke JPN Melaka.

"Pertukaran ke JPN Melaka secara tidak langsung satu hukuman buat tertuduh yang menanggung malu biarpun belum dibuktikan bersalah," katanya yang turut mengesahkan anak guamnya itu berdepan kes lain yang akan dibicarakan pada Ogos depan.

Hakim Nariman Badruddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai, atau jaminan dibatalkan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 19 Jun ini.

Muhammad Hafiz (tengah) di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka hari ini. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
Muhammad Hafiz (tengah) di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka hari ini. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
Berita Harian X