Khamis, 18 Mei 2023 | 8:58pm

Setahun buat 'kerja' Imigresen, wanita kaut jutaan ringgit

KUALA LUMPUR: Seorang wanita hidup mewah selepas mengaut jutaan ringgit dengan menawarkan khidmat memperbaharui Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) warga asing.

Wanita berusia 48 tahun itu seolah-olah menjadi 'ejen' kepada Jabatan Imigresen malaysia (JIM) hasil kegiatannya sejak setahun lalu, sedangkan pihak terbabit tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk urusan berkenaan.

Kegiatannya terbongkar susulan serbuan dilakukan JIM Kuala Lumpur di dua lokasi membabitkan kediamannya di sebuah kondominium di Taman Melati Utama serta sebuah pejabat di Taman Sri Rampai, di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin, berkata serbuan menerusi Ops Serkap itu hasil risikan Unit Risikan Operasi Atipsom Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur selama sebulan.

"Suspek yang mempunyai syarikat pembinaan disyaki bertindak seolah-olah ejen yang menjalankan khidmat memperbaharui PLKS dengan harga RM8,300 sekeping, selain turut menawarkan khidmat pendaftaran slip rekalibrasi dengan bayaran RM2,000 kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh.

"Hasil serbuan pertama kira-kira jam 11 pagi di unit kondominium, menemukan 314 pasport Bangladesh, masing-masing seunit komputer riba, komputer dan mesin pencetak, 17 keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), tujuh telefon pintar pelbagai jenama, tujuh kad bank dan turut dirampas wang tunai berjumlah RM61,550. Suspek turut ditahan di rumah itu.

Bahan bukti rampasan pada sidang media Tangkapan Ops Serkap di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - NSTP/ Genes Gulitah
Bahan bukti rampasan pada sidang media Tangkapan Ops Serkap di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - NSTP/ Genes Gulitah

"Operasi itu membawa kepada serbuan susulan sekitar jam 12.20 tengah hari di sebuah premis pejabat di Taman Sri Rampai dan pihak imigresen merampas antaranya 53 pasport Bangladesh, masing-masing seunit komputer dan mesin pencetak, 198 keping kad CIDB, enam keping kad pekerja asing (i-Kad), tujuh buku rekod bayaran, lapan fail syarikat, tiga keping lesen syarikat, seunit dekoder CCTV dan seunit telefon pintar," katanya dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan jumlah bayaran dikenakan suspek, pihaknya percaya wanita terbabit boleh mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit selama kira-kira setahun beroperasi.

Siasatan awal juga mendapati wanita berkenaan turut dibantu warga Bangladesh bagi mendapatkan pelanggannya dan JIM turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 42 hingga 48 tahun mengikut Akta Pasport 1959/63 untuk siasatan lanjut.

Syamsul Badrin Mohsin (tengah) menunjukkan bahan bukti rampasan seperti pasport, wang tunai dan peralatan komputer pada sidang media Tangkapan Ops Serkap di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - NSTP/ Genes Gulitah
Syamsul Badrin Mohsin (tengah) menunjukkan bahan bukti rampasan seperti pasport, wang tunai dan peralatan komputer pada sidang media Tangkapan Ops Serkap di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - NSTP/ Genes Gulitah
Berita Harian X