MELAKA: Sebuah hotel terkenal di bandar raya ini disyaki mengeksploitasi pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai tenaga kerja sejak lima bulan lalu, dipercayai bagi menjimatkan kos dan mengaut keuntungan.
Ini berikutan khidmat PATI digunakan bagi kerja-kerja 'house keeping', pembersihan dan juga pelayan restoran di hotel itu.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini, berkata tindakan itu terbongkar hasil beberapa serbuan 'Op Sapu' dilakukan pihaknya di sekitar bandar raya ini bermula jam 9 pagi semalam.
Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh dibuat ke atas hotel terbabit susulan aduan diterima daripada orang awam dan seramai 41 pekerja asing diperiksa.
"Hasil pemeriksaan lanjut, 13 daripada mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas atau permit kerja yang dikeluarkan.
"Semasa serbuan, ada PATI cuba menyembunyikan diri dan menyamar sebagai pekerja warga tempatan, namun berjaya ditangkap," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, keseluruhannya 20 warga asing ditahan dalam beberapa serbuan dijalankan tiga pegawai bersama 20 anggota dalam operasi berakhir jam 11 malam itu.
Antara lokasi tumpuan lain ialah medan selera, pusat cuci kenderaan mewah dan petempatan pekerja asing.
Keseluruhan, katanya, pihaknya memeriksa 70 warga asing dalam operasi berkenaan sebelum 20 PATI berusia lingkungan 20 hingga 48 tahun ditahan, terdiri 17 warganegara Indonesia, seorang warga Bangladesh dan dua dari Myanmar.
"Dalam operasi lain, ada warga asing yang bertindak agresif tanpa memikirkan keselamatan diri dalam cubaan melarikan diri ketika anggota Imigresen Melaka menyerbu lokasi-lokasi sasaran," katanya.
Anirwan Fauzee berkata, antara kesalahan lain yang dikenal pasti dalam serbuan itu ialah masuk dan tinggal di Malaysia secara haram dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
"Kami turut mengeluarkan sembilan borang saman kepada saksi dan majikan yang bertanggungjawab untuk membantu siasatan dan tindakan selanjutnya," katanya.
Menurutnya, operasi dijalankan bagi mengesan dan membanteras kebanjiran warga asing, khususnya PATI serta individu yang cuba melindungi mereka atau bersubahat dalam komplot untuk melakukan apa-apa kesalahan Imigresen.