GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menahan tujuh individu warga tempatan di dua daerah berasingan kerana disyaki terbabit dengan sindiket perjudian secara dalam talian dengan keuntungan mencecah RM3 juta sebulan.
Serbuan menerusi Op Dadu itu dilakukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, berkata serbuan pertama dilakukan pada jam 2.30 petang, Jumaat lalu di sebuah kondominium di Bayan Baru, di sini, yang membawa kepada penahanan empat lelaki dan wanita, manakala serbuan di kondominium kedua didapati tidak berpenghuni dipercayai dijadikan sebagai tempat menyimpan peralatan bagi perjudian.
Katanya, penahanan seterusnya membabitkan dua lelaki yang masing-masing ditahan di Butterworth dan Perai pada Sabtu dan Ahad lalu kerana disyaki terbabit menguruskan kegiatan itu.
"Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 30-an dan dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkait Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Lima suspek pertama direman selama empat hari, manakala dua lagi masing-masing direman selama tiga dan empat hari sehingga Jumaat ini.
"Terdapat tiga lagi individu yang masih bebas dan kita sedang mengesan mereka, " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.
Antara barangan dirampas ialah 34 telefon bimbit, kad akses rumah, komputer pelbagai jenama, sistem kamera litar tertutup (CCTV), empat motosikal dan wang tunai berjumlah RM15,200.
Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, modus operandi itu menggunakan aplikasi seperti Telegram, WeChat dan WhatsApp bagi mempromosikan pelbagai permainan judi menerusi telefon bimbit.
Katanya, operasi sindiket berkenaan turut memancing pelanggan di negara jiran, malah transaksi antara pelanggan dan sindiket dipercayai menggunakan beberapa akaun bank dalam serta luar negara.
"Siasatan mendapati premis itu baru beroperasi dalam tempoh kurang dan semua yang ditahan adalah rakan sindiket.
"Sindiket berkenaan mampu menjana pendapatan RM100,000 sehari dan boleh mencecah RM3 juta sebulan.
"Semua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan bertindak menjadi operator judi dalam talian dengan upah yang diterima kira-kira RM1,500 sebulan," katanya.
Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) akta sama.
"Polis akan berusaha membanteras aktiviti perjudian di negeri ini dan sebarang maklumat boleh disalur ke Bilik Gerakan menerusi talian hotline 04-2221624," katanya.