Ahad, 14 Mei 2023 | 8:04pm

'Suami isteri' suspek kes amang seksual 2 beradik dituduh di mahkamah esok

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang ditahan berkait kes amang seksual membabitkan dua beradik berusia 14 dan 15 tahun di Puncak Alam, Selangor awal bulan ini, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, esok.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar yang dihubungi BH, hari ini, mengesahkan perkara itu.

"Suspek akan dituduh di Mahkamah Klang, esok. Seorang wanita yang ditahan dalam kes ini akan turut dituduh di mahkamah sama, esok," katanya.

Pada 10 Mei lalu, media melaporkan seorang lelaki ditahan di Puncak Alam selepas disyaki merakam adegan amang seksual fizikal membabitkan ibu dan anak kandung lelakinya berusia 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dilaporkan berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor sebelum diserahkan kepada IPD Sungai Buloh pada 10 Mei lalu berkait kes amang seksual ke atas anak tiri perempuan berusia 15 tahun.

Mangsa dalam kes ini juga anak kepada suspek wanita yang ditahan berkait kes amang seksual membabitkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun sebelum ini.

Berikutan itu, Shafa'aton memaklumkan kedua-dua suspek direman empat hari bermula 11 Mei lalu bagi membantu siasatan selepas polis menerima laporan berkaitan kes itu pada 8 Mei lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 4 Mei lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 33 tahun direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.

Dia ditangkap di kediamannya di Puncak Alam, 2 Mei lalu selepas polis menerima laporan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat mengenai perbuatan itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu tidak dikenali.

Tiga hari kemudian, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan selepas dipercayai terbabit merakam dan menyebarkan video adegan itu.

Suspek lelaki yang menetap di Bandar Sri Damansara itu memiliki dua rekod jenayah iaitu kes pemerasan dan rogol selain telefon bimbitnya dirampas untuk tujuan siasatan.

Terdahulu, Ramli hari ini mengesahkan bahawa suspek wanita itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, esok berkait kes amang seksual ke atas anak lelakinya berusia 14 tahun.

Berita Harian X