Ahad, 14 Mei 2023 | 10:51am
Antara warga asing yang diperiksa dalam serbuan di premis restoran sekitar Bandaraya Melaka semalam. - Foto Imigresen Melaka
Antara warga asing yang diperiksa dalam serbuan di premis restoran sekitar Bandaraya Melaka semalam. - Foto Imigresen Melaka

PATI sanggup rempuh pegawai Imigresen elak dicekup

MELAKA: Rempuh pegawai Jabatan Imigresen dan sanggup gadai nyawa dengan lari ke jalan raya yang sibuk.

Itu tindakan nekad sekumpulan lima lelaki pendatang tanpa izin (PATI) warga India dan Pakistan dalam usaha meloloskan diri daripada ditahan pegawai imigresen Melaka, semalam.

Pengarah Imigresen negeri, Anirwan Fauzee Mohd Aini, berkata tindakan kumpulan PATI terbabit sia-sia apabila tetap ditahan anggota imigresen yang mengepung kawasan serbuan.

"Ketika serbuan, sekumpulan PATI bertindak agresif dengan merempuh pegawai operasi untuk meloloskan diri. Akibatnya kamera milik seorang pegawai turut terjatuh, namun tidak menyebabkan kecederaan.

"Mereka juga sanggup membahayakan diri dengan berlari menuju ke jalan yang sibuk bagi mengelak ditahan," katanya dalam satu kenyataan.

Operasi membabitkan 20 anggota imigresen bermula 11 pagi hingga 1.30 tengah hari di beberapa tempat di sekitar Bandaraya Melaka meliputi medan selera, restoran dan premis penempatan pekerja yang disyaki menjadi 'sarang' PATI.

"Daripada 72 orang warga asing yang diperiksa, 26 PATI ditahan masing-masing lima warganegara India dan Indonesia, Myanmar (13), Bangladesh (2) dan Pakistan (1).

"Dari segi jantina, seramai 22 lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun hingga 54 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya.

Operasi dijalankan susulan aduan awam mengenai kebanjiran PATI di kawasan terbabit.

Anirwan Fauzee berkata, antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tamat tempoh dan lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya.

"Kita beri amaran kepada PATI dan individu yang melindungi mereka ini bahawa tindakan tegas akan diambil," katanya.

Berita Harian X