Sabtu, 13 Mei 2023 | 11:35am
Operasi SAR remaja dikhuatiri lemas di Sungai Perak berdekatan Jeti Kampung Terengganu, Teluk Intan, diteruskan pagi ini. - Foto PDRM
Operasi SAR remaja dikhuatiri lemas di Sungai Perak berdekatan Jeti Kampung Terengganu, Teluk Intan, diteruskan pagi ini. - Foto PDRM

Operasi cari remaja dikhuatiri lemas diteruskan

TELUK INTAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak berdekatan Jeti Kampung Terengganu, dekat sini, diteruskan pagi ini.

Mangsa dikenali V Johnson, 14, dikhuatiri lemas selepas penduduk kampung menemui beg dan pakaian berdekatan jeti berkenaan petang semalam.

Difahamkan, mereka memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah sebelum pihak sekolah menelefon ayah mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dalam kenyataan hari ini, mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada ayah remaja itu jam 9.01 malam tadi dan polis mengesyaki mangsa terjatuh ke dalam sungai.

"Susulan itu, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diaktifkan berdekatan kawasan kejadian pada jam 9.30 malam tadi.

"Memandangkan cuaca gelap, SAR dijalankan pada 7.30 pagi hari ini membabitkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk," katanya.

Dalam perkembangan sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata SAR diteruskan merangkumi radius pencarian 7 kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

"Bantuan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) juga digerakkan pagi ini dan bantuan pasukan penyelam di air (PPDA). Kekuatan SAR pagi ini membabitkan lapan anggota bomba, tujuh daripada APM, empat polis dan tiga K9," katanya.

Berita Harian X