Jumaat, 12 Mei 2023 | 5:52pm

'Saya sudah larang tapi mereka terus terjun'

DUNGUN: "Saya dah rasa tak sedap hati dan saya batalkan hasrat terjun di situ," kata Muhammad Falmie Hakimi Yahaya, selepas dua rakannya lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, dekat sini, pagi tadi.

Muhammad Falmie, 19, pelajar diploma Kejuruteraan Elektrik Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman berkata, dia sebelum itu sudah meminta kedua-dua rakannya supaya tidak terjun di situ.

Sebelum kejadian, dia bersama Ahmad Syahid Hamdan, 19, dan Muhammad Ridhwan Zawawi, 19, serta 15 lagi rakan sekuliah lain tiba di kawasan perkelahan jam 11 pagi.

Ahmad Syahid (kiri) dan Muhammad Ridhwan. - NSTP/Rosli Ilham
Ahmad Syahid (kiri) dan Muhammad Ridhwan. - NSTP/Rosli Ilham

"Kami sempat makan beramai-ramai sambil mandi di kawasan cetek sebelum Muhammad Ridhwan mengajak kami semua mandi di kawasan berbatu di tingkat atas.

"Hanya saya dan kedua-dua mangsa mendaki denai untuk ke kawasan berbatu setinggi lima meter," katanya.

Menurutnya, ketika sampai di kawasan tinggi itu, dia tiba-tiba berubah hati dan meminta kedua-dua rakannya membatalkan hasrat mandi di situ.

"Saya tak sedap hati, saya minta mereka berdua jangan terjun kerana kawasan air itu sangat dalam dan berbatu.

"Bagaimanapun, Muhammad Ridhwan terus terjun diikuti Ahmad Syahid. Lima minit selepas itu, saya tidak nampak mereka kerana terlindung dengan bongkah batu yang besar," katanya.

Mayat Ahmad Syahid dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Mayat Ahmad Syahid dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun. - Foto NSTP/Rosli Ilham

Muhammad Falmie berkata, dia kemudian terdengar suara pengunjung di bawah yang menjerit kepadanya memaklumkan kedua-dua rakannya itu lemas.

"Saya dalam ketakutan bergegas turun ke bawah dan orang ramai tidak berani membantu kerana di kawasan itu air berpusar dan sangat dalam.

"Saya segera meminta bantuan penduduk kampung berdekatan sebelum beberapa orang terjun untuk menyelamatkan kedua-dua rakan saya itu," katanya.

Katanya, dia sangat sedih apabila kedua-dua rakannya itu dijumpai dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi.

"Kami semua sepakat untuk berehat di kawasan air terjun untuk menenangkan fikiran kerana kami semua akan menjalani peperiksaan semester kedua pada 23 Mei nanti.

"Saya sangat sedih namun reda dengan apa yang berlaku dan pengalaman ini akan menjadi pengajaran buat kami semua," katanya.

Kawasan Air Terjun Lubuk Kain Kampung Syukur, Dungun, lokasi dua pelajar Kejuruteraan Elektrik Kolej Kemahiran Tinggi Mara lemas pagi tadi. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Kawasan Air Terjun Lubuk Kain Kampung Syukur, Dungun, lokasi dua pelajar Kejuruteraan Elektrik Kolej Kemahiran Tinggi Mara lemas pagi tadi. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Berita Harian X