Khamis, 11 Mei 2023 | 9:34pm
Laporan BH Online pada 2 Mei lalu berkait kejadian letupan di hadapan sebuah kedai di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Laporan BH Online pada 2 Mei lalu berkait kejadian letupan di hadapan sebuah kedai di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Polis tahan 5 lelaki kes letupan depan kondominium, 2 dihadapkan ke mahkamah esok

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki berkait kejadian letupan kecil di hadapan sebuah kedai di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, di sini pada Selasa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata kesemua warga tempatan berusia antara 32 hingga 60 tahun itu ditahan di sekitar daerah Sentul di sini pada 5 Mei.

Menurut beliau, siasatan mendapati kesemua suspek diupah oleh pihak lain untuk melakukan perbuatan itu.

"Kertas siasatan kes ini dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan polis mendapat arahan untuk menuduh dua suspek di Mahkamah Kuala Lumpur, esok.

"Kedua-dua suspek diarahkan untuk dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, tiga lagi suspek akan dijadikan saksi pendakwaan.

Media sebelum ini melaporkan, kejadian letupan kecil berlaku di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini, didapati berpunca daripada bahan letupan buatan sendiri (IED).

Amihizam dilaporkan berkata, polis menerima laporan kejadian pada jam 6 pagi daripada seorang pengawal keselamatan berusia 27 tahun.

Menurut beliau, hasil siasatan polis menemukan tiga paip PVC yang diubah suai menjadi bahan letupan. Pemeriksaan pada paip PVC itu kemudian menemukan alat kawalan jauh (untuk meledak IED).

Pihak bomba, Unit Pemusnah Bom dan Unit Forensik Polis yang menjalankan siasatan, menjumpai serpihan letupan di tempat kejadian, selain berjaya mengesan tiga kesan cap jari.

Menurut Amihizam, semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian menunjukkan pergerakan imej suspek dipercayai dua lelaki di lokasi terbabit.

Berita Harian X