Isnin, 8 Mei 2023 | 2:50pm

Pasangan kekasih, rakan ditahan polis dalang pecah rumah

ISKANDAR PUTERI: Sepasang kekasih bersama rakan mereka ditahan polis kelmarin, kerana disyaki mendalangi kejadian pecah rumah di Taman Bukit Indah di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata pihaknya menerima laporan dibuat seorang tukang masak berusia 29 tahun yang bekerja di Singapura, memaklumkan ibunya yang berada di rumah memberitahu rumahnya diceroboh.

"Pengadu lelaki itu berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ibunya yang berusia 62 tahun kira-kira jam 5 petang, 2 Mei lalu yang memberitahu bahawa rumah pengadu telah dimasuki orang.

"Pada esoknya, kira-kira jam 10.30 pagi, pengadu pulang ke rumah dan mendapati pintu pagar hadapan telah terbuka dan mangga kunci di pintu juga sudah tiada," dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Rahmat berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya melakukan dua serbuan di kawasan Tampoi dan Larkin, kira-kira jam 8.30 pagi, kelmarin sebelum menahan menangkap semua suspek.

Katanya, soal siasat awal dilakukan terhadap semua suspek, polis berjaya membuat tiga kereta dan pelbagai barangan berharga lain.

"Antara yang dirampas adalah tiga telefon bimbit, tabung mengandungi pelbagai jenis mata wang asing serta duit syiling, tujuh jam tangan, tiga beg, tiga topeng muka dan kepala, sarung tangan, barangan kemas, dua 'allen key' diubah suai, dua anak kunci diubah suai dan komputer riba.

"Selain itu, peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah dan tiga kereta turut dirampas dan semua rampasan dianggarkan bernilai RM300,000," katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek menyasarkan kediaman tidak berpenghuni dan mempunyai kenderaan dalam pagar rumah.

"Mereka akan mengguna kunci dan peralatan yang diubah suai untuk membuka mangga pintu rumah yang disasarkan.

"Mereka turut menyasar barang berharga dalam rumah dan mengambil kunci yang terdapat dalam rumah untuk melarikan kenderaan.

"Kenderaan yang dilarikan adalah untuk kegunaan pecah rumah serta akan dijual jika terdapat permintaan," jelasnya.

Rahmat berkata, semakan mendapati tiga kereta yang dirampas itu mendapati dua daripadanya mempunyai rekod hilang dalam kes pecah rumah, manakala sebuah lagi buah dipercayai kenderaan yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu.

Menurut beliau, suspek pertama dan kedua yang juga kekasih berusia 29 dan 31 tahun mempunyai rekod jenayah lampau dan positif methamphetamine ketika ujian saringan awal air kencing dibuat terhadap mereka.

Manakala, katanya, suspek ketiga berusia 36 tahun mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan dadah, namun ujian saringan awal air kencingnya negatif.

"Pengakuan awal suspek mengaku melakukan dua kes pecah rumah dan membawa lari kenderaan serta satu kes samun dan dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan sejak awal tahun ini.

"Kita percaya dengan tangkapan ini, kita berjaya melumpuhkan sindiket kes pecah rumah dan melarikan kenderaan dalam kawasan Iskandar Puteri serta daerah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

"Suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin menunjukkan barangan rampasan kes pecah rumah
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin menunjukkan barangan rampasan kes pecah rumah
Berita Harian X