KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersedia menawarkan bantuan dalam kejadian runtuhan penahan tebing di Wisma YPR, Taman Seputeh, di sini sehingga mengorbankan seorang pengawal keselamatan, awal pagi tadi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran dalam Facebook hari ini, turut bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga pengawal keselamatan terbabit.
"Di pihak KKR, saya ingin memaklumkan kita bersedia untuk menawarkan bantuan dalam apa jua cara di bawah kapasiti KKR, sekiranya diminta oleh pihak-pihak yang terbabit," katanya.
Berdasarkan laporan awal, katanya, kejadian itu di premis milik swasta bawah penyelarasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antaranya berdasarkan peruntukan Akta 133 Jalan Parit dan Bangunan serta beberapa undang-undang kecil berkaitan.
"Difahamkan kejadian itu berlaku apabila tebing setinggi kira-kira enam meter menghempap pondok kawalan keselamatan menyebabkan mangsa yang bertugas ketika kejadian tertimbus," katanya.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menemui mayat mangsa pada kedalaman tiga meter pada 6.23 pagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 73 tahun meninggal dunia selepas tertimbus tanah akibat runtuhan penahan tebing awal pagi tadi. - BERNAMA