KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang suspek lelaki yang mencabul kehormatan seorang remaja wanita di Sea Park, Petaling Jaya, Jumaat lalu.
Menerusi satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai dari rakaman kawasan perumahan lokasi kejadian, mangsa yang berjalan seorang diri sambil memegang payung di sebuah kawasan perumahan secara tiba-tiba dipeluk dan diangkat dari belakang oleh suspek terbabit.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata dalam kejadian itu suspek dikesan berpakaian hitam dan memakai pelitup muka dengan menggunakan topi berwarna hitam.
"Selepas memeluk dan mencabul mangsa, suspek didapati melarikan diri ke arah satu laluan di kawasan perumahan berkenaan.
"Susulan kejadian itu mangsa kemudian membuat laporan mendakwa dicabul seorang lelaki, sejam selepas kejadian," katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Mohamaed Fakhrudin berkata, pada masa ini pihak polis sedang menyiasat dari semua sudut untuk mengesan suspek terbabit termasuk mendapatkan maklumat daripada saksi kejadian dan rakaman CCTV di lokasi kejadian.
"Sehubungan itu pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian cabul ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau tampil ke balai polis berhampiran," katanya.
Berdasarkan rakaman CCTV berdurasi 1.40 saat itu mangsa sempat menjerit meminta pertolongan dan menyebabkan suspek dipercayai ketakutan dan segera melarikan diri.