Selasa, 2 Mei 2023 | 4:43pm
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (dua, kiri) menunjukkan barang rampasan ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (dua, kiri) menunjukkan barang rampasan ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Curi cip elektronik RM1.5 juta, 2 pekerja syarikat antara 6 ditahan

SHAH ALAM: Enam suspek ditahan kerana dipercayai mencuri lapan kotak cip elektronik bernilai RM1.5 juta di gudang sebuah syarikat logistik di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan mendapati dua daripada enam suspek lelaki yang berumur 21 hingga 38 tahun itu adalah pekerja syarikat berkenaan.

"Polis menerima aduan pengurus syarikat yang memaklumkan premisnya dipecah masuk dan syarikat itu kehilangan lapan daripada 42 kotak cip elektronik kira-kira jam 4.30 pagi, 21 April lalu.

"Siasatan awal mendapati 42 kotak berisi cip untuk membuat televisyen dan telefon itu dijadualkan untuk dieksport ke Taiwan.

"Bagaimanapun, rakaman CCTV mengesan dua pekerja mencuri dengan membawa keluar lapan kotak daripada gudang itu," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Berdasarkan maklumat, polis membuat serbuan dan menahan enam suspek di kawasan KLIA, Sungai Pelek dan Nilai, dekat sini.

"Empat daripada suspek termasuk dua pekerja syarikat mengaku melakukan jenayah terbabit. Semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Dalam kes lain, Hussein berkata, polis memberkas 13 penyamun bertopeng dan bersenjata parang termasuk warga emas berumur lingkungan 30 hingga 68 tahun, baru-baru ini.

Siasatan mendapati suspek aktif lebih lima bulan lalu di empat negeri ditahan di Selangor, Melaka, Kedah dan Johor pada 25 April hingga semalam.

"Semua suspek lelaki itu menyasarkan kediaman tidak berpenghuni sama ada siang atau malam selain melarikan kenderaan mangsa untuk dijual di pasaran gelap.

"Penahanan 13 suspek susulan aduan seorang mangsa selepas keretanya dilarikan dan rumah dipecah masuk penjenayah di sekitar Kajang pada 23 April lalu.

"Polis turut merampas 18 telefon bimbit, komputer riba, beg galas dan beberapa kenderaan termasuk milik mangsa seperti Toyota Harrier dan Hilux," katanya.

Berita Harian X