BINTULU: Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas di Sungai Plan sekitar kawasan belakang kilang perindustrian di Tanjung Kidurong, di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Gwenna Dhollen Richard, 11.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.39 petang.
"Setiba di lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai, pasukan menjalankan usaha mencari dan menyelamat menggunakan teknik pencarian di permukaan," katanya dalam satu kenyataan.
Selepas satu jam setengah operasi berkenaan, katanya, mayat mangsa ditemukan terapung tidak jauh dari lokasi kanak-kanak berkenaan dikhuatiri terjatuh.
Berdasarkan maklumat awal yang diterima, menurutnya, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa bersama rakan bermain menggelongsor di kawasan parit tetapi dibawa arus deras ke muara dan dihanyutkan ke sungai itu.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Unit Forensik, Hospital Bintulu, untuk bedah siasat.