ALOR SETAR: Polis Kedah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan heroin bernilai RM214,288 dalam dua serbuan berasingan pada Selasa lalu dan semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata kejayaan itu hasil serbuan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada Selasa lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Balor Rambai, Mukim Bukit Tinggi, Jitra pada jam 3.20 petang dan menahan seorang lelaki di bilik pertama rumah terbabit.
"Hasil pemeriksaan dalam bilik itu, polis menemui sebuah beg kertas mengandungi lima bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat lebih lima kilogram di atas lantai bilik berkenaan.
"Seterusnya, pada hari sama kira-kira jam 4 petang, hasil soal siasat dilakukan pasukan polis terhadap suspek terbabit membawa kepada penahanan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard di tempat letak kenderaan, di depan sebuah hotel di Kepala Batas, dekat sini.
"Susulan itu, polis menahan dua lelaki yang berada dalam kenderaan itu, namun hasil pemeriksaan fizikal tidak menjumpai apa-apa barang salah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Hassan berkata, polis menahan kedua-kedua lelaki terbabit dan turut merampas sebuah rangkai yang terdapat lima anak kunci dari dalam kenderaan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, siasatan masih dilakukan terhadap ketiga-tiga lelaki berusia 30 hingga 47 tahun itu.
"Nilai rampasan dadah RM180,900 manakala nilai sitaan harta RM343,500 termasuk kenderaan.
"Tiga suspek itu direman tujuh hari sehingga 24 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Dalam serbuan kedua semalam, polis melakukan serbuan di kawasan tempat letak kereta di sebuah kedai makan berhampiran susur keluar Bukit Pinang, Lebuhraya Utara-Selatan, Jitra pada jam 4 petang.
Wan Hassan berkata, dalam cubaan untuk menahan suspek iaitu seorang lelaki memandu kereta jenis Kia Cerato berwarna merah, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan memandu secara melulu dan cuba merempuh anggota serbuan.
Beliau berkata, suspek berusia 33 tahun itu juga merempuh dua kenderaan milik pasukan polis dan memandu kereta terbabit ke jalan utama Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan).
"Namun pada jam 7 petang hari sama, susulan dari serbuan pertama, polis berjaya menahan suspek terbabit di kawasan belakang medan makan kawasan rehat dan rawat (R&R) Gurun (arah Selatan), Gurun, di Kuala Muda.
"Hasil pemeriksaan fizikal menemui alat kawalan jauh kenderaan dalam poket seluar yang dipakai suspek.
"Suspek kemudian menunjukkan kereta Kia Cerato dan pemeriksaan dalam kereta itu menemui satu plastik warna hitam atas kerusi penumpang depan yang mengandungi satu plastik lut sinar berikat getah berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 510 gram," katanya.
Beliau berkata, turut ditemui sebuah plastik berwarna hitam mengandungi empat paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 1.8 kilogram.
"Nilai rampasan dadah terbabit bernilai RM33,388 manakala sitaan harta wang tunai RM400.
"Suspek direman tujuh hari sehingga 25 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 207 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960," katanya.