Sabtu, 15 April 2023 | 5:18pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kanak-kanak autisme hilang ditemukan lemas di sungai

KUCHING: Kanak-kanak autisme berusia tujuh tahun yang disedari hilang di Kampung Bunga Rampai, Jalan Batu Kitang di sini, semalam ditemukan lemas di sungai kampung terbabit hari ini.

Mayat Andrine Johnnes ak Anne dijumpai jam 12.15 tengah hari tadi selepas ditemukan terapung di sungai terbabit oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan penemuan itu selepas pihaknya bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengesan satu objek mencurigakan dalam keadaan timbul tenggelam di permukaan sungai.

"Apabila dihampiri, objek terbabit disahkan mayat kanak-kanak yang masih berpakaian sebelum disahkan sebagai mangsa yang hilang oleh keluarga," katanya.

Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam, mangsa disedari hilang dari rumahnya sebelum laporan dibuat jam 9.13 malam dan SAR digerakkan.

Difahamkan mangsa selama ini tidak dibenarkan keluar dari rumah, namun kemungkinan besar keluar melalui pintu belakang yang menghadap kawasan hutan berdekatan.

Berita Harian X