Jumaat, 14 April 2023 | 5:23pm
SPRM menahan reman dua individu berkaitan kes pembelian pusat urut. - Foto hiasan
SPRM menahan reman dua individu berkaitan kes pembelian pusat urut. - Foto hiasan

Dua kakitangan syarikat pusat urut direman

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu, iaitu bekas pengarah urusan dan bekas pengarah eksekutif sebuah syarikat pusat urut terkemuka, hari ini.

Dua individu itu suspek utama kes penyelewengan dana syarikat berhubung isu pembelian minyak urut bernilai anggaran RM9 juta.

Kedua-dua suspek berusia masing-masing 50 dan 55 tahun itu ditahan kira-kira 9 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, penahanan kedua-dua suspek itu susulan penahanan tiga wanita berkaitan kes sama semalam.

Difahamkan, suspek menyeleweng wang itu menerusi pembelian minyak urut dengan harga yang tinggi berbanding harga pasaran menerusi syarikat pembekal yang juga proksi mereka hingga menyebabkan syarikat mengalami kerugian anggaran RM1.8 juta.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 17 April 2023 dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, selepas pihak SPRM membuat permohonan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Semalam media melaporkan, SPRM menahan reman tiga wanita berusia lingkungan 50-an kerana disyaki menyeleweng dana sebuah syarikat pusat urut terkemuka.

Berita Harian X