KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu kegiatan tawaran kerja dalam talian yang beroperasi dalam serbuan ke atas pusat panggilan di Jalan Ampang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata seramai lapan lelaki dan dua wanita masing-masing seorang wanita tempatan dan asing ditahan.
"Walaupun beroperasi di ibu negara, modus operandi sindiket adalah menawarkan pekerjaan untuk mangsa warga asing di luar negara dengan tawaran kerja juga di luar negara.
"Semua suspek berusia lingkungan 18 hingga 46 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan pekerjaan dalam talian," katanya.
Noor Dellhan berkata, serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu mendapati sindiket ini menyewa premis terbabit dan beroperasi selama hampir sebulan.
"Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.
"Semua suspek direman empat hari bermula 14 hingga 17 April," katanya.