Khamis, 13 April 2023 | 12:32am

Reptilia 2 meter jenguk rumah disangka biawak, rupanya buaya

PUTATAN: Penghuni sebuah rumah di Kampung Ketiau, di sini, dikejutkan dengan kehadiran 'tetamu tidak diundang' iaitu seekor buaya sepanjang dua meter di depan rumah mereka, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, penghuni mulanya menganggap haiwan yang memasuki kawasan rumahnya itu adalah seekor biawak.

Mereka hanya menyedari ia sebenarnya buaya sebaik mendekati haiwan itu, sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu.

Difahamkan, buaya itu dipercayai datang dari sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah pengadu.

Ketua Operasi APM Kota Kinabalu, Safaruddin Rusline, berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, reptilia itu dilihat berada dalam kawasan rumah pengadu.

"Selepas 15 minit, buaya seberat 35 kilogram berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi.

Reptilia berkenaan kemudian dibawa ke Pejabat APM Kota Kinabalu dan akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Anggota APM menangkap buaya sepanjang dua meter yang ditemui di sebuah rumah di kampung Ketiau, Putatan. - Foto ihsan APM
Anggota APM menangkap buaya sepanjang dua meter yang ditemui di sebuah rumah di kampung Ketiau, Putatan. - Foto ihsan APM
Berita Harian X