JITRA: "Terkejut juga apabila panggilan yang diterima daripada orang awam malam tadi memaklumkan mangsa kemalangan adalah anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berdasarkan pakaian mangsa.
"Memang tak sangka rupanya rakan sendiri yang bertugas satu syif dengan saya malam tadi," kata Mohamad Akmal Hakim Abdul Razak, 28.
Beliau berkata, rakannya, Razali Abdul Manaf, 56 terbabit dalam kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 15.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Asun, Jitra, dekat sini, tengah malam tadi dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohamad Akmal yang juga anggota APM Kubang Pasu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 12.55 tengah malam tadi.
Katanya, arwah seorang yang sangat baik dan sebelum kejadian beliau dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kemboja, Jalan Bukit Kechil selepas pulang bertugas syif malam.
"Kami sempat berbuka puasa bersama malam tadi dan memang nampak perubahan pada arwah kerana sebelum ini dia selalu bawa bekal makanan yang dimasak isterinya tetapi semalam tidak.
"Sebelum nak balik pun dia sempat bergurau lepas ni tak boleh nak melawak (bergurau) dah la sebelum pulang menunggang motosikal dan melambai ke arah kami," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Akmal berkata, ini adalah Ramadan terakhir mereka bersama arwah dan kenangan bersamanya tidak akan pernah dilupakan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, Razali berkhidmat di APM Kubang Pasu sejak tahun 2017 iaitu kira-kira enam tahun lalu.
Katanya, sebelum ini arwah berkhidmat di Pejabat APM Timur Laut Pulau Pinang.
"Kami semua kehilangan seorang anggota yang berdedikasi dan rajin," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 12.55 tengah malam membabitkan sebuah motosikal Honda Wave yang ditunggangi mangsa dengan sebuah kereta Perodua Axia dan Proton Persona.
Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, kemalangan membabitkan motosikal dan dua kereta yang bergerak dari arah yang sama iaitu dari arah Jitra menghala ke Changlun.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai hilang kawalan dan melanggar motosikal mangsa yang berada di hadapan menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan.
"Berikutan itu, mangsa dilanggar sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun yang ketika itu sedang bergerak dari arah yang sama," katanya ketika dihubungi hari ini.
Rodzi berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk tujuan bedah siasat.
"Mangsa yang meninggal dunia adalah anggota APM Kubang Pasu dan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan manakala dua pemandu kereta terbabit tidak cedera.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.