Khamis, 6 April 2023 | 3:00pm

Bekas ibu mertua arwah Rubiah mahu tunai amanat jaga cucu

DUNGUN: Bekas ibu mentua kepada Allahyarham Rubiah Sabtu yang dipercayai dibunuh suaminya di Kampung Besol, Bukit Besi, semalam akan menunaikan amanat arwah untuk menjaga cucu-cucunya.

Wan Zaini Wan Abdullah, 60, berkata walaupun arwah dan anak lelakinya, Mohd Radzi Aziz, 38, sudah berpisah empat tahun lalu, hubungan di antara mereka sangat baik dan selalu bertanya khabar.

Katanya setiap kali menelefon, arwah selalu berpesan supaya beliau mengambil dan menjaga anak-anaknya, sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadap dirinya.

"Dia (Rubiah) sering berpesan supaya kami menjaga anak-anaknya sekiranya dia meninggal dunia.

"Rupanya pesanan terbabit benar-benar menjadi kenyataan," kata Wan Zaini.

Wan Zaini, berkata, arwah Rubiah mempunyai enam anak hasil perkahwinan selama 15 tahun dengan anak lelaki saya dan seorang bayi perempuan dengan suami baharu.

"Anak sulung arwah berusia 18 tahun dan yang paling kecil baru berusia tiga bulan," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi dekat sini, hari ini.

Wan Zaini (dua dari kiri) bersama cucunya ketika hadir pada pengebumian Allahyarham Rubiah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi, hari ini. - NSTP/Rosli Ilham
Wan Zaini (dua dari kiri) bersama cucunya ketika hadir pada pengebumian Allahyarham Rubiah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi, hari ini. - NSTP/Rosli Ilham

Hasil perkahwinan dengan anaknya, Mohd Radzi Aziz,38, mereka dikurniakan enam anak iaitu Muhammad Daniel Mohd Radzi,18; Muhammad Danish Hakim Mohd Radzi,15; Nur Daniela Danissya Mohd Radzi,11; Muhammad Adam Darwish Mohd Radzi,9; Muhammad Danial Naufa Mohd Radzi,7; dan Muhammad Dani Lutfi Mohd Radzi, 5.

"Nur Daniela Danissya dan Muhammad Adam Darwisy, dijaganya dan tinggal di rumah anak saya, Nurfadzilah Aziz, di Melaka sejak dua tahun lalu," katanya.

Katanya, Muhammad Danial Naufal dan Muhammad Dani Lutfi, lima tahun untuk turut tinggal bersamanya di Melaka sementara Muhammad Daniel dan Muhammad Danish Hakim akan tinggal bersama bapa kandung mereka di Bukit Besi.

"Arwah dan anak mak cik bercerai sejak empat tahun lalu, biarpun bercerai hubungan saya dengan bekas menantu (arwah) sangat rapat dan sentiasa berhubung bertanya khabar termasuk kesihatan saya

"Saya anggap dia macam anak saya sendiri, sepanjang 15 tahun menjadi menantu, dia sangat baik dan bersikap penyabar dan tidak pernah melukakan hati saya,"katanya.

Sementara itu, anak kedua arwah, Muhammad Danish Hakim Mohd Radzi, 15, berkata dia reda dengan pemergian ibunya walaupun kematiannya secara tiba-tiba.

Katanya, kejadian itu memang tidak dijangka kerana hubungan di antara arwah ibu dengan bapa tirinya sebelum ini baik-baik sahaja.

"Kali terakhir saya jumpa ibu pagi semalam sebelum pergi sekolah dan saya bersalam seperti biasa. Tetapi tengah hari semalam, ayah datang ke sekolah dengan tergesa-gesa dan beritahu ibu sudah tiada," katanya.

Rubiah, 41, meninggal dunia dipercayai akibat dipukul dengan tukul besi oleh suaminya di kediaman mereka di Kampung Besol, Bukit Besi kira-kira 8 pagi semalam, selepas berlaku perselisihan faham di antara mereka.

Rumah wanita maut dipercayai dibunuh suami dan Rubiah (gambar kecil). - NSTP/Rosli Ilham
Rumah wanita maut dipercayai dibunuh suami dan Rubiah (gambar kecil). - NSTP/Rosli Ilham
Berita Harian X