Sabtu, 1 April 2023 | 5:21pm
Penguatkuasa DBKL menahan seorang wanita yang disyak bekerja sebagai pelayan seks bersama pelanggannya dalam serbuan ke atas tujuh premis di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, semalam. - Foto ihsan FB DBKL
Penguatkuasa DBKL menahan seorang wanita yang disyak bekerja sebagai pelayan seks bersama pelanggannya dalam serbuan ke atas tujuh premis di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, semalam. - Foto ihsan FB DBKL

Tujuh pusat pelacuran sekitar Jalan Petaling KL digempur

KUALA LUMPUR: Tujuh pusat pelacuran yang beroperasi pada Ramadan digempur dalam operasi Tindakan Khas Premis Berisiko di sekitar Jalan Petaling, di sini semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata, operasi pada jam 9 malam itu dijalankan bersama polis susulan risikan di beberapa lokasi titik panas sekitar ibu negara.

"Pihak DBKL mengenal pasti premis-premis perniagaan yang menawarkan aktiviti seks dan pelacuran membabitkan wanita warga asing.

"Tujuh premis diserbu penguatkuasa DBKL manakala polis menahan empat wanita Bangladesh selain India (satu) dan Indonesia (satu) disyaki bekerja sebagai pelayan seks," kata kenyataan bekenaan.

DBKL berkata 16 lelaki termasuk dua warga tempatan disyaki penjaga premis ditahan bersama 14 warga asing dipercayai pelanggan di premis terbabit.

Katanya, semua premis terbabit diarah dtutup serta merta mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan turut dikenakan notis kompaun.

"DBKL mengambil tindakan memecahkan 85 bilik yang dibina tanpa kelulusan serta menyita 212 pelbagai barangan dan peralatan dipercayai bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral.

"Antaranya, kondom, minyak pelincir, tisu basah, kipas dinding, kamera litar tertutup (CCTV) yang dibawa ke Stor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X