JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki berkelakuan seperti samseng jalan raya selepas disyaki mengugut dan melakukan khianat dengan melanggar kereta pemandu lain di Pasir Gudang, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira 4 jam selepas polis menerima maklumat mengenainya.
"Pada jam 2.15 petang semalam, mangsa yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun sedang memandu kereta di persimpangan lampu isyarat di kawasan Pasir Gudang.
"Keretanya selepas itu dihimpit sebuah kereta lain dipandu suspek yang kemudian bertindak melanggar bahagian belakang kereta mangsa.
"Suspek dan mangsa kemudian memberhentikan kereta di tepi jalan dan suspek mengeluarkan sebatang besi serta mengugut untuk memukul mangsa," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Mohd Sohaimi berkata siasatan lanjut mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek selepas kereta dipandunya dipintas mangsa.
Katanya, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 6.20 petang sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam membuat tangkapan ke atas suspek di kawasan Pasir Putih, Pasir Gudang.
"Rampasan ke atas barang milik mangsa dan senjata yang digunakan suspek turut dilakukan iaitu sebuah Perodua Myvi dan sebatang besi sepanjang 60 sentimeter (cm).
"Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau. Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Selasa. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.
Mohd Sohaimi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bertolak ansur, bertimbang rasa sesama pengguna jalan raya dan mematuhi peraturan serta undang-undang
bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.