Jumaat, 31 March 2023 | 2:31pm
Hussein pada sidang media di IPK Selangor, hari ini. - NSTP/NORZAMIRA CHE NOH
Hussein pada sidang media di IPK Selangor, hari ini. - NSTP/NORZAMIRA CHE NOH

Polis rampas dadah lebih RM11 juta, tahan 7 individu

SHAH ALAM: Sejumlah 298.987 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan 17.6kg heroin yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM11.034 juta, dirampas melalui beberapa serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Selangor dan Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata tujuh individu termasuk seorang wanita berusia 27 hingga 52 tahun, turut ditahan dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, kes pertama membabitkan rampasan dadah dipercayai methamphetamine, selain dua lelaki warga tempatan ditahan disyaki melakukan transaksi pemindahan dadah dari sebuah Toyota Estima ke Toyota Alphard di tempat parkir kereta di sebuah pangsapuri di Damansara Perdana, Petaling Jaya, kira-kira jam 1.50 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas sembilan guni berisi 279 bungkusan bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 294.49kg. Susulan itu, seorang lagi lelaki dipercayai ahli sindiket, ditahan di Shah Alam.

"Kesemua suspek kes ini berusia 35 hingga 52 tahun dan masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dua suspek positif," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Dalam kes kedua, Hussein berkata, seorang lelaki ditahan di kawasan parkir kereta di tepi jalan di Pelabuhan Klang, dan polis menjumpai 28 ketulan dadah disyaki heroin seberat 12.6kg serta satu bungkusan disyaki methamphetamine dianggarkan seberat 0.497kg di dalam Toyota Wish yang digunakan suspek.

Susulan tangkapan itu, katanya, polis memeriksa sebuah Perodua Myvi di kawasan sebuah pangsapuri di Ampang sebelum menemukan 11 ketulan disyaki heroin dengan anggaran berat 4.89kg di dalam but kereta berkenaan.

Berikutan itu, beliau berkata, tiga lagi individu termasuk seorang wanita ditahan di Klang, Tanjung Malim (Perak) dan Cyberjaya kerana disyaki terbabit sindiket berkenaan.

Hussein berkata, hasil semakan terhadap empat suspek berusia 27 hingga 49 tahun itu mendapati tiga daripada mereka memiliki rekod lampau bersabit jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif.

"Jumlah dadah dirampas dalam kedua-dua kes itu ialah 298.987kg methamphemine dianggarkan bernilai RM10.8 juta dan 17.6kg heroin dianggarkan bernilai RM234,366. Anggaran nilai keseluruhan dadah dirampas ialah RM11.034 juta, dan kita percaya bekalan itu adalah untuk pasaran di Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X