KUALA LUMPUR: Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menyorokkan dadah dengan cara menanamnya dalam lubang sedalam satu meter di kawasan tanah terbiar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata sindiket berkenaan dipercayai mengupah lelaki yang juga pekerja kebun untuk menjaga dadah yang disorok itu.
Beliau berkata, dalam serbuan dilakukan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur di Subang Jaya, Isnin lalu berjaya menemui 56 kilogram dadah jenis ganja dan satu kilogram dadah jenis syabu dalam bekas ditanam sedalam satu meter di kawasan tanah terbiar.
Katanya, penemuan itu susulan penahanan seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun yang bekerja sebagai tukang kebun di kawasan itu.
"Dadah jenis ganja yang ditemui itu bernilai RM166,000, manakala syabu yang dirampas bernilai RM26,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yahaya berkata, siasatan ke atas individu ditahan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
"Suspek berperanan menjaga bekalan dadah yang ditanam dan siasatan lanjut mengenainya masih diteruskan. Hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.