Isnin, 27 March 2023 | 9:09pm

Sarang dadah diserbu, 27 orang ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 27 individu di sebuah flat di Jinjang Baru, Sentul di sini, selepas disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah, awal pagi tadi.

Antara yang ditahan ialah 19 individu yang cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung dalam serbuan kira-kira jam 5 pagi itu.

Serbuan dibuat hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul ke atas sindiket pengedaran dadah dilaporkan aktif di kawasan Sentul.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata empat unit kediaman flat yang diserbu dikesan menjadi sarang dan lokasi pengedaran dadah.

Katanya, operasi dijalankan dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur yang membantu memecahkan pintu di empat unit kediaman berkenaan.

"Seramai 19 orang dikesan cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung, namun pihak bomba dengan tiga jentera membantu membawa pasukan serbuan naik ke bumbung untuk menangkap suspek.

"Dalam serbuan sama, 10 lagi termasuk seorang wanita ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah – Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anggota pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sentul menyerbu sarang dadah di Flat Jinjang Baru di Sentul, awal pagi tadi. - FOTO IHSAN POLIS
Anggota pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sentul menyerbu sarang dadah di Flat Jinjang Baru di Sentul, awal pagi tadi. - FOTO IHSAN POLIS

Yahaya berkata, seorang daripada suspek lelaki ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, dua lelaki mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952, 13 lelaki mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan seorang lelaki mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, semua suspek berusia antara 23 hingga 40 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Menerusi operasi itu, katanya, polis merampas 59.44 gram dadah jenis Methamphetamine dianggar bernilai RM5,944.

"Polis turut merampas dua kereta jenis Perodua Myvi, satu motosikal jenis Yamaha Y15, pelbagai barang kemas dan wang tunai RM603," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, selain mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Katanya, permohonan reman akan dibuat esok manakala kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB1952, Seksyen 39(A)(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 3(1) ADB (Langkah – Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Bahagian III ADB (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket terbabit dan sumber bekalan dadah diperoleh.

"Susulan tangkapan dan rampasan itu, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di kawasan Sentul sejak enam bulan lalu," katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur membantu membawa anggota polis menahan suspek di bumbung, - FOTO IHSAN POLIS
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur membantu membawa anggota polis menahan suspek di bumbung, - FOTO IHSAN POLIS
Berita Harian X