Ahad, 26 March 2023 | 8:48pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Tiga warga asing dipercayai sindiket 'Love Scam' ditahan

BENTONG: Dua lelaki warga Nigeria dan seorang wanita warga Iran berusia antara 32 hingga 37 tahun, ditahan di dua bilik berasingan di sebuah apartmen di Genting Highlands, jam 12 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata penahanan dibuat oleh bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, dipercayai membabitkan anggota sindiket penipuan 'Love Scam'.

Katanya, sindiket dipercayai mula berada di negara ini mulai Disember tahun lalu manakala suspek utama dikatakan tinggal di negara ini sejak kira-kira lima tahun lalu.

"Awalnya suspek berada di negara ini sebagai penuntut dan mereka adalah bekas pelajar kolej swasta di Malaysia.

"Polis masih menjalankan siasatan mengenai ahli sindiket lain dengan modus operandi sama," katanya d sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek dikatakan menyasarkan empat hingga lapan mangsa penipuan sehari.

"Mereka turut menggunakan aplikasi 'Snapchat' dan Facebook bagi memperdaya mangsa dari luar negara ini, namun sindiket ini turut mencari mangsa dari Malaysia.

"Anggota sindiket ini berperanan sebagai individu yang memperdaya mangsa melalui 'Love Scam' menggunakan platform berkenalan," katanya.

Zaiham berkata, maklumat mangsa dihantar kepada kumpulan sindiket beroperasi di Ghana dan suspek akan menerima keuntungan 20 peratus wang penipuan yang diterima daripada setiap mangsa penipuan.

Berita Harian X