KUANTAN: Seorang warga emas kerugian RM39,750 akibat terpedaya sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata wanita berusia 75 tahun dari Raub itu berkenalan lelaki yang kononnya warganegara United Kingdom pada awal Februari lalu.
Katanya, selepas berkenalan, suspek memaklumkan akan menghadiahkan mangsa sebuah kereta jenis Mercedes Benz berserta wang tunai AS$150,000 (RM663,690).
"Selang beberapa hari, mangsa menerima panggilan yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
"Dalam perbualan, pegawai kastam itu memaklumkan kereta jenis Mercedes Benz bersama wang tunai AS$150,000 yang dikirimkan kepada mangsa terima di Malaysia.
"Bagaimanapun, mangsa diminta untuk membuat bayaran cukai.
"Berikutan itu, mangsa menggunakan wang simpanan untuk membuat enam pindahan wang kepada enam akaun bank yang berlainan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM39,750," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ramli berkata, pihaknya menasihati masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan individu yang tidak dikenali di media sosial.
"Pada masa sama, orang ramai dinasihati tidak menyewa atau memberikan akaun bank peribadi kepada ahli sindiket kerana jika didapati bersuhabat, pemilik akaun boleh dituduh di mahkamah jenayah dan mungkin akan dihadapkan dengan tuntutan sivil," katanya.