Sabtu, 25 March 2023 | 6:16pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Penyelia rugi lebih RM160,000 terpedaya 'Love Scam'

KUANTAN: Seorang penyelia kilang kerugian RM164,601 akibat terpedaya dalam Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi Facebook.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata lelaki berusia 56 tahun dan berstatus bujang itu berkenalan dengan seorang wanita tempatan di laman sosial terbabit pada awal Disember tahun lalu.

Katanya, mangsa ditawarkan skim pekerjaan sambilan melalui pautan yang dihantar ke aplikasi WhatsApp.

"Mangsa mendaftar dengan bayaran RM100 untuk membuka akaun di sebuah platform dan semua urusan perkenalan dan perniagaan bersama suspek hanya melalui WhatsApp tanpa bersemuka.

"Selepas tiga bulan, manggsa mendapati akaunnya disekat atas alasan dua pelanggan didakwa tidak menerima barangan ditempah.

"Mangsa dikehendaki membuat bayaran RM4,000 tetapi aplikasi terbabit menunjukkan tiada pelanggan berminat berurusniaga dengan akaunnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, berikutan itu mangsa berhasrat menutup akaun berkenaan kerana mahu mengeluarkan keuntungan dicatat berjumlah RM700,000.

Bagaimanapun, katanya, mangsa diminta membuat bayaran pemprosesan, cukai kerajaan dan pengurusan wang kastam bagi menebus keuntungan.

"Mangsa membuat 14 kali pindahan wang kepada tiga akaun bank berlainan berjumlah RM164,601 menggunakan wang simpanannya, termasuk di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, usaha mangsa menghubungi wanita itu gagal kerana mendakwa berada di luar negara atas urusan perubatan ibunya.

"Sehubungan itu, mangsa yang berasa terpedaya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Berita Harian X