MELAKA: Polis menumpaskan satu sindiket pecah pecah rumah rentas negeri berikutan penahanan empat individu termasuk seorang wanita menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Sindiket terbabit dikesan menyasarkan kondominium, pangsapuri dan residensi dalam melakukan jenayah pecah rumah dan curi barangan berjenama mewah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata suspek berusia 34 hingga 51 tahun itu ditahan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, pada 14 dan 22 Mac lalu.
Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan kejadian pecah rumah di sebuah kondominium di Klebang, pada 2 Mac lalu, yang mengakibatkan mangsa kerugian RM50,000 membabitkan wang tunai dan barang kemas.
"Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan risikan dan menahan dua lelaki di sekitar Kuala Lumpur, pada 14 Mac lalu kerana disyaki terbabit dengan jenayah itu.
"Hasil soal siasat terhadap suspek, polis melakukan serbuan kedua dan menahan dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan wanita di kawasan Selangor pada 22 Mac lalu," katanya kepada media, hari ini.
Christopher berkata, semua suspek dipercayai ahli sindiket jenayah pecah rumah membabitkan kondominium, apartmen serta residensi dan menerusi tangkapan itu, pihaknya turut merampas pelbagai barangan berjenama mewah termasuk jam tangan, beg tangan, beg duit, telefon bimbit serta dua kenderaan.
"Polis turut merampas pelbagai alatan pecah rumah serta pakaian dipercayai digunakan suspek dalam melakukan pecah rumah dan curi.
"Susulan penahanan ini, polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah membabitkan kontinjen Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.
Beliau berkata, semua suspek direman sehingga 27 dan 29 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.