KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mendapat kebenaran untuk menyambung reman terhadap seorang lelaki dikenali 'Datuk Roy' bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit kes penipuan program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Perintah reman selama empat hari berakhir Isnin depan, dikeluarkan terhadap lelaki berusia 54 tahun itu oleh Majistret Mahkamah Majistret Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas menerima permohonan lanjutan reman daripada SPRM pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman, ketika dihubungi mengesahkan reman terhadap suspek mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Lelaki itu yang direman selama tiga hari sebelum ini ditahan semula di Pejabat SPRM, jam 3.45 petang semalam selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM hari sama.
Datuk Roy dilepaskan Majistret Kuala Lumpur, Noorelynna Hanim Abd Halim, selepas pihak SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tempoh reman ke atasnya yang tamat semalam.
Majistret Kuala Lumpur memerintahkan lelaki itu direman bagi membantu siasatan berhubung dana Jana Wibawa.
Datuk Roy ditahan kali pertama ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 di pejabat SPRM di sini, pada jam 3 petang Isnin lalu.
Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.
Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.
Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.