Isnin, 13 March 2023 | 10:42pm

Terjun ke laut selamatkan kanak-kanak lemas

BACHOK: Tanpa memikirkan keselamatan diri, seorang wanita terjun ke laut bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang hampir lemas di Pantai Damat, petang tadi.

Bagaimanapun, Wan Muhammad Afif Danial Wan Mohd Nasir, 11, meninggal dunia beberapa minit selepas dibawa ke daratan dalam kejadian jam 5.30 petang itu.

Ketika kejadian, Asimah Abdul Manaf, 30, berada di rumah nenek suaminya berhampiran pantai sebelum didatangi seorang wanita yang menjerit meminta tolong bagi menyelamatkan kanak-kanak lemas.

Tanpa berfikir panjang, beliau bersama abang ipar, Mohd Azizul Zawawi, 40, terus terjun ke laut bagi menyelamatkan mangsa yang sedang ditarik seorang kanak-kanak lain.

"Saya cuma fikir kalau itu anak saya. Saya pegang bahagian kaki manakala abang ipar mengangkat badan kanak-kanak dan dibawa ke daratan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi, petang tadi.

Asimah berkata, mangsa masih bernafas ketika dibawa ke darat namun muntah teruk serta tidak sedarkan diri.

"Tidak lama kemudian, seorang penduduk kampung memaklumkan nadi mangsa sudah berhenti," katanya.

Mangsa dikatakan mandi di pantai bersama lima rakannya sebelum kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke pantai tidak mandi-manda kerana ombak bergelora ketika ini dan berbahaya.

"Kita akan bincang tindakan susulan dengan Ketua Jajahan Bachok bagi menaikkan tanda larangan mandi," katanya.

Wan Muhammad Afif Danial Wan Mohd Nasir lemas ketika mandi bersama lima rakannya di Pantai Damat, Bachok. - NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Wan Muhammad Afif Danial Wan Mohd Nasir lemas ketika mandi bersama lima rakannya di Pantai Damat, Bachok. - NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Berita Harian X