Ahad, 12 March 2023 | 5:16pm
 Mayat dua beradik yang hilang ditemui di lombong Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu, hari ini. Foto ihsan bomba
Mayat dua beradik yang hilang ditemui di lombong Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu, hari ini. Foto ihsan bomba

Mayat dua beradik lemas ditemui di lombong

SUNGAI PETANI: Sungai Petani: Dua kanak-kanak lelaki etnik Rohingya yang hilang selepas terjatuh ke dalam lombong di Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu, semalam, ditemui lemas hari ini.

Mayat Mohd Nasim Belal Hussain, 6, ditemui pada jam 2.45 petang tadi, manakala mayat adiknya, Mamod Shukur, 4, dijumpai pasukan penyelamat pada jam 8.05 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan membabitkan anggota polis, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke hospital dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Syukri Hashim berkata, mayat mangsa kedua ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba pada jarak 15 meter dari tebing lombong dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui lemas, manakala abangnya berusia enam tahun hilang selepas terjatuh ke dalam lombong di Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu, jam 9.43 malam tadi.

Berita Harian X