Ahad, 12 March 2023 | 2:42pm
Anggota bomba mengangkat mayat kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang ditemui lemas di lombong Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba mengangkat mayat kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang ditemui lemas di lombong Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu. - Foto ihsan Bomba

Adik ditemukan lemas, abang masih hilang

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki etnik Rohingya ditemukan lemas, manakala abangnya yang berusia enam tahun masih hilang selepas dipercayai terjatuh di kawasan lombong Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu, di sini semalam.

Mayat mangsa Mamod Shukur Belal Hussain, 4, ditemui pada jarak 400 meter dari tebing lombong pada jam 8.05 pagi tadi, manakala operasi mencari seorang lagi mangsa, Muhammad Nazeri Belal Hussain masih diteruskan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Syukri Hashim, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.43 malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Tikam Batu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shaari Hashim bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi menyelamat.

"Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian daripada polis yang memaklumkan berkemungkinan terdapat mangsa lemas di kawasan lombong itu.

"Setibanya di lokasi, Komander Operasi menerima maklumat bahawa terdapat kanak-kanak lelaki berusia empat dan enam tahun berbangsa Rohingya dikhuatiri lemas.

"Ianya berdasarkan penemuan pakaian mangsa yang ditemui di lokasi kejadian.

"Tindakan yang dilakukan adalah dengan menjalankan operasi secara permukaan air di kawasan dipercayai mangsa lemas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata operasi mencari seorang mangsa masih lagi diteruskan di kawasan lombong berkenaan.

Berita Harian X