Sabtu, 11 March 2023 | 2:49pm
Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di luar perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Putrajaya bagi memberi keterangan kelmarin. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di luar perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Putrajaya bagi memberi keterangan kelmarin. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Himpunan solidariti Muhyiddin, polis akan panggil beberapa individu

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti beberapa individu untuk membantu siasatan berhubung himpunan solidariti dianjurkan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diadakan di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin.

Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata individu berkenaan akan dipanggil segera untuk membantu siasatan.

"Perhimpunan solidariti yang dibuat di SPRM baru-baru ini, kertas siasatan sudah dibuka. Siasatan sedang dijalankan.

"Tentu sahaja ada pihak akan dipanggil untuk membantu siasatan kita dan apabila kertas siasatan dapat dilengkapkan, kita akan rujuk kertas siasatan itu ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Itu proses biasa. Apa pun, polis sudah mengenalpasti nama yang akan dipanggil untuk membantu siasatan," katanya selepas merasmikan Program Polis Kuala Lumpur bersama Komuniti, Town Hall sempena Hari Polis ke-216 'Keselamatan Jalan Raya: Isu Kesesakan Lalu lintas di Kuala Lumpur' di KL Wellness City Gallery, hari ini.

Azmin Ali bersama Shahidan Kassim di luar perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipanggil memberi keterangan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Azmin Ali bersama Shahidan Kassim di luar perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipanggil memberi keterangan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Pada Khamis, SPRM mengesahkan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU serta bekas Perdana Menteri, ditahan pada jam 1 tengah hari selepas hadir memberi keterangan mengenai siasatan Jana Wibawa serta kes berkaitan.

Muhyiddin kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM dan keluar kira-kira jam 8.20 malam.

Semalam Ahli Parlimen Pagoh itu berhadapan enam pertuduhan membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Muhyiddin dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dan dijangka berhadapan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dilaporkan berkata, himpunan solidariti terhadap Muhyiddin itu sudah dirujuk fakta kes kepada pihak Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Berita Harian X