KUALA LUMPUR: Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita yang aktif mendalangi kegiatan pecah klinik dan farmasi di sekitar Lembah Klang dan Pahang dalam serbuan berasingan dekat Sentul dan Sri Damansara, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata kumpulan dikenali sebagai Geng Adam ini berjaya ditumpaskan susulan siasatan ke atas satu kes pecah klinik di Jalan Sentul pada 23 Februari lalu.
"Laporan kejadian itu diterima pada jam 10.37 pagi daripada seorang wanita berusia 38 tahun yang bekerja sebagai kerani di klinik terbabit.
"Penjenayah berjaya melarikan wang tunai lebih RM2,000 dan pelbagai ubat-ubatan dalam kejadian dipercayai berlaku awal pagi itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Eng Lai berkata, susulan risikan dan siasatan dijalankan, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berjaya menahan lima suspek termasuk seorang wanita dalam operasi bermula jam 1.30 tengah hari hingga 4.45 petang di Sentul dan Sri Damansara pada 1 Mac lalu.
"Semua suspek adalah warga tempatan berusia antara 22 hingga 32 tahun dan seorang wanita yang turut ditahan adalah teman wanita seorang daripada suspek.
"Dalam serbuan itu, kita merampas dua alat perengkuh paip dipercayai digunakan mengumpil pintu hadapan dan pintu 'roller shutter' klinik atau farmasi yang disasarkan, selain untuk memecahkan peti besi dilarikan.
"Kita turut merampas wang tunai RM4,000, dua kereta jenis Proton Wira dan Proton Saga, enam telefon bimbit, sejumlah barang kemas serta pelbagai peralatan dan ubat-ubatan yang dipercayai dilarikan daripada klinik dan farmasi yang dipecah masuk," katanya.
Katanya, siasatan mendapati antara ubatan dilarikan adalah untuk kegunaan mereka yang berdepan masalah tekanan perasaan dan kemurungan dan kondisi itu dipercayai dihadapi seorang daripada suspek.
Eng Lai berkata, kumpulan ini diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Adam, berusia 31 tahun dan dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah klinik dan farmasi sejak akhir tahun lalu.
"Modus operandi kumpulan ini ialah mengumpil pintu premis sebelum melarikan wang tunai dan barang berharga serta aktif melakukan kegiatan itu antara jam 3 hingga 4.30 pagi.
"Dengan tumpasnya geng ini, kita percaya berjaya menyelesaikan 24 kes pecah klinik dan farmasi membabitkan 11 kes sekitar ibu negara, 11 kes di Selangor dan dua kes di Pahang dengan keseluruhan kerugian dianggarkan RM50,000," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, polis kini sedang memburu seorang lagi ahli kumpulan ini yang masih bebas dikenali sebagai Kecik atau nama sebenarnya, Mohammad Amir Abdullah, 25.
Eng Lai berkata, semakan mendapati tiga suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing menunjukkan empat suspek lelaki positif dadah.
Semua suspek kini direman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.