Rabu, 8 March 2023 | 6:08pm

Inkues Baby Syifaa: Pengasuh akui terpaksa guna buaian untuk menidurkan mangsa

SEREMBAN: Saksi ke-19 prosiding inkues kes kematian 'Baby Syifaa' memberitahu Mahkamah Koroner Seremban hari ini, dia terpaksa menggunakan buaian untuk menidurkan bayi itu kerana mangsa tidak berhenti menangis.

Pengasuh pusat jagaan, Khairulnisa Ahmad Damunhuri, 38, berkata dia perlu menidurkan Nour Rania Asyifaa kerana tangisan bayi berusia 15 bulan itu akan mengganggu dua lagi bayi asuhannya.

Katanya, buaian itu hanya digunakan sekali-sekala apabila keadaan mendesak dan ia disimpan di dalam almari.

"Apabila Syifaa menangis, bayi yang lain pun tidak boleh tidur. Pada mulanya saya riba tetapi dia tetap menangis dan pada masa sama saya menghenjut dua 'rocker' di kiri dan kanan dengan kaki untuk tidurkan dua anak jagaan.

"Apabila saya masukkan Syifaa dalam buaian, buaian itu tak boleh menghenjut dan saya letak kain lampin kerana takut spring besi buaian itu patah kerana ia sudah lama," katanya pada prosiding hari keempat inkues, hari ini.

Khairulnisa turut memberitahu taska itu mula beroperasi pada Disember tahun 2020 dan menempatkan seramai 15 bayi dan kanak-kanak.

"Bawah jagaan saya ada tiga orang dan bawah jagaan adik saya pula ada 12 orang. Tetapi jika ada waktu senggang, saya akan bantu uruskan sama-sama.

"Hanya kami berdua sebagai pengasuh kerana pengasuh ketiga berhenti pada Januari untuk sambung belajar. Sepatutnya pengasuh baharu masuk kerja bulan Mac tetapi tidak dapat teruskan khidmat kerana kejadian yang berlaku," katanya.

Wanita itu turut mengakui taska itu beroperasi tanpa lesen Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pada masa dia sendiri tidak mempunyai sebarang tauliah atau sijil Kursus Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak Permata yang diiktiraf JKM.

"Tapi saya ada pengalaman menjadi pengasuh di rumah. Pada awalnya hanya ada seorang ibu menghantar tiga anak dan kemudian bertambah.

"Selepas adik saya tamat belajar, saya sarankan kami buka taska supaya ada tempat lebih selesa dan selamat untuk menjaga anak-anak ini.

Pada prosiding bersambung pada sebelah petang itu, Khairulnisa menunjukkan demonstrasi cara dia memasang buaian dan bagaimana keadaan Syifaa ketika ditemui.

"Saya tengok Syifaa berada dalam keadaan berdiri di dalam buaian dengan keadaan kepala dia tertunduk keluar dari buaian.

"Saya menjerit terkejut dan memanggil Syifaa ketika mengangkatnya dia macam mengambil nafas tetapi keadaannya sudah terkulai," katanya.

Khairulnisa berkata, walaupun tidak mempunyai pengetahuan asas tentang bantuan pernafasan tetapi dia cuba melakukannya untuk menyelamatkan Syifaa dengan cara menekan dadanya beberapa kali.

Pada prosiding hari ini, keluarga Syifaa diwakili peguam Gaithri Thomas dan Hafiz Norkhan, manakala peguam pemerhati pihak pengasuh, S Kavitha.

Mahkamah turut menetapkan prosiding inkues bersambung pada 8, 21 dan 22 Mac 2023 untuk mendengar keterangan tujuh lagi saksi.

Media sebelum ini melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.

Peguam mewakili keluarga Baby Syifaa, Hafiz Norkhan (kanan) berbincang bersama Yuseri Yusoff, 39, (dua dari kanan) pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, atau 'Baby Syifa,' di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan Februari tahun lalu.
Peguam mewakili keluarga Baby Syifaa, Hafiz Norkhan (kanan) berbincang bersama Yuseri Yusoff, 39, (dua dari kanan) pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, atau 'Baby Syifa,' di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan Februari tahun lalu.
Berita Harian X