Selasa, 7 March 2023 | 4:53pm
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk proses reman. - Foto ihsan SPRM
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk proses reman. - Foto ihsan SPRM

Op Tropicana: Warga UK dalang utama sindiket penipuan direman 4 hari

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga United Kingdom (UK) yang juga dalang utama sindiket penipuan yang ditumpaskan menerusi Op Tropicana bulan lalu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, selepas suspek dibawa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke mahkamah itu.

Irza Zulaikha membenarkan suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 10 Mac ini.

Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata Orang Kena Tahan (OKT) adalah dalang utama sindiket penipuan antarabangsa dan ditahan menerusi Op Tropicana pada 21 Februari lalu.

"Ketika serbuan, OKT berada di premis 'boiler room' (markas pusat panggilan sindiket) dan dia adalah pengurus besar kepada dua 'boiler room' yang diserbu.

"Anggota Jabatan Imigresen melakukan tangkapan ke atas OKT dan hasil siasatan dan keterangan daripada saksi, OKT ditahan oleh SPRM semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohamad Zamri berkata, pihaknya sudah merakam keterangan tiga mangsa dari Australia yang hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, BH melaporkan SPRM menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga UK dalam serbuan secara berasingan di 24 premis pada 21 Februari lalu.

Op Tropicana dijalankan serentak termasuk di tiga pusat panggilan, syarikat dan kediaman ahli sindiket di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang tanpa kehadiran pihak polis.

Difahamkan, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak 2019 mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dalam sidang media pada 22 Februari lalu dilaporkan, berkata serbuan dibuat selepas siasatan berasaskan risikan, penyiasatan kewangan, penyamaran dan beberapa kaedah lain.

Katanya, risikan juga dijalankan dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM.

"Serbuan hasil kerjasama SPRM dan Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri," katanya.

Berita Harian X