Ahad, 5 March 2023 | 8:40pm

Operasi SAR Pantai Kemayan dihentikan sementara

BACHOK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak hilang di Pantai Kemayan, di sini, ditangguhkan pada jam 7.30 malam tadi, dan akan disambung semula pagi esok.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata pihaknya dengan kerjasama anggota penyelamat yang lain akan meneruskan SAR pada jam 7 pagi esok bagi mencari mangsa, Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12.

Katanya, misi mencari dan menyelamat dilakukan sekitar satu kilometer (km) daripada tempat mangsa dilaporkan hilang dan akan diperluas pada jarak yang lebih jauh.

"Seramai 67 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terbabit dalam SAR kali ini.

"Kami berhadapan dengan kesukaran ombak besar, namun akan terus cuba sedaya upaya untuk mencari mangsa yang hilang dengan kemahiran yang ada pada setiap anggota bertugas," katanya.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan hilang dipercayai lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya di Pantai Kemayan, kira-kira jam 8 pagi tadi.

Mangsa, Ahmad Fadhlullah, dipercayai lemas dan masih belum ditemui selepas cuba menyelamatkan Muhammad Nabil Irfan Ismail Mokhtar, 11, yang tergelincir daripada benteng di pantai terbabit.

Ibu mangsa, Rosnani Mohd Salleh, 60, berkata beliau ada bersama ketika kejadian dan masih terkejut dengan apa yang terjadi, selain berdoa semoga anak bongsunya itu segera ditemui.

Anggota penyelamat daripada pelbagai agensi bergabung tenaga membantu operasi SAR di Pantai Kemayan, Bachok, hari ini. - Foto NSTP/Syaherah Mustafa
Anggota penyelamat daripada pelbagai agensi bergabung tenaga membantu operasi SAR di Pantai Kemayan, Bachok, hari ini. - Foto NSTP/Syaherah Mustafa
Berita Harian X