BACHOK: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya di Pantai Kemayan di sini, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, hari ini.
Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, belum ditemui selepas cuba menyelamatkan Muhammad Nabil Irfan Ismail Mokhtar, 11, yang tergelincir dari benteng batu di pantai terbabit.
Ibu mangsa, Rosnani Mohd Salleh, 60, ada bersama ketika kejadian dan berdoa anak bongsunya itu segera ditemui.
Beliau berkata, segala-galanya berlaku dengan pantas apabila cucunya, Muhammad Nabil, tergelincir ke laut dan cuba diselamatkan oleh Ahmad Fadhlullah.
Pada masa sama, seorang lagi anaknya, Nurul Afiqah, 19, turut terjun untuk membantu.
"Muhammad Nabil dapat diselamatkan tetapi Ahmad Fadhlullah hilang dibawa ombak besar.
"Nurul Afiqah juga tidak berdaya selepas berjaya menarik Muhammad Nabil dan mereka kini mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
"Saya terus berdoa dan berharap anak saya segera ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai Kemayan, di sini, hari ini.
Rosnani berkata, mereka sekeluarga bermalam di sebuah calet berdekatan sempena Hari Keluarga dan Ahmad Fadhlullah yang dibesarkan bersama kakaknya, Rosmaliza Mohamad, 41, di Kluang Johor, hanya pulang ke kampung ketika musim cuti sekolah.
"Anak bongsu saya itu kerap mencium dan memeluk saya kebelakangan ini, biasanya tidak begitu," katanya yang tinggal di Kampung Padang Enggang, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kehilangan kanak-kanak lelaki terbabit
Katanya, usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).