SUBANG JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta semua pihak menunggu hasil siasatan kes 13 naskhah al-Quran ditemui dalam longkang berhampiran kolam takungan banjir Taman Sri Murni, Jinjang di sini, 19 Februari lalu.
Setiausaha, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff, berkata siasatan berhubung kes itu masih dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihaknya memantau perkembangan itu.
"Apa yang saya ingin ingatkan kepada orang ramai, memang pihak penguatkuasaan sedang memburu sebarang bentuk al-Quran dan bahan al-Quran yang tiada perakuan supaya tidak berada dalam kalangan komuniti.
"Kita amat menggalakan individu, syarikat atau pertubuhan yang memiliki al-Quran yang tiada kelulusan atau rosak, usang, lusuh dan tidak boleh dibaca lagi, melupuskannya dengan cara betul," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran atau Lajnah Tasheh al-Quran semakan 11 permohonan terdiri daripada enam naskhah teks al-Quran (30 juzuk) serta lima bahan teks al-Quran.
Tambah beliau, orang ramai boleh menghubungi mana-mana pejabat cawangan Bahagian Penguatkuasan dan Kawalan KDN di seluruh negara untuk menyerahkan al-Quran dan bahan-bahan al-Quran yang ingin dilupuskan.
"Apabila sudah diserahkan kepada kami, kita akan tertakluk kepada satu proses pelupusan yang disebut pemuliaan al-Quran dan bahan-bahan al-Quran.
"Jangan mengambil mudah atau langkah singkat dengan membuangnya ke tempat yang tidak sepatutnya seperti longkang atau tong sampah dan sebagainya. Al-Quran hendaklah sentiasa dimuliakan," katanya.
Terdahulu BH melaporkan polis melancarkan siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang dalam longkang berhampiran tasik lombong di Jinjang pada 19 Februari lalu itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, polis sudah merakam keterangan 10 individu setakat ini untuk membantu siasatan.
Polis juga, katanya, sudah mengenal pasti syarikat yang mencetak dan membuat tempahan al-Quran berkenaan.