KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan tiga sindiket pengedaran dadah sekitar Lembah Klang, dengan rampasan bernilai RM2 juta dalam Op Tapis Khas bermula 27 Februari sehingga 1 Mac.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata sindiket itu ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur (JSJN IPK KL) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Sentul).
Beliau berkata, daripada tiga sindiket yang ditumpaskan itu, polis menahan enam suspek terdiri lima lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 44 tahun.
"Bagi sindiket pertama, polis menahan dua lelaki tempatan berumur 28 dan 30 tahun di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada 27 hingga 28 Februari.
"Daripada tangkapan ini, kita merampas 20 kilogram (kg) ganja bernilai RM50,000 dan menyita wang tunai RM900," katanya.
Bagi sindiket kedua katanya, polis melakukan dua serbuan di Taman Keramat dan Taman Melati pada 1 Mac sebelum berhasil menahan seorang pemuda berusia 21 tahun.
Katanya, daripada tangkapan itu, polis merampas enam kilogram syabu yang bernilai RM246,000.
"Kita juga merampas wang tunai berjumlah RM1,000 dan keseluruhan rampasan ini berjumlah RM247,000," katanya.
Azmi berkata, bagi sindiket ketiga, Polis Sentul melakukan empat serbuan sekitar Segambut, Cheras dan Pandan Perdana pada 28 Februari hingga 1 Mac.
Katanya, dalam serbuan itu, dua lelaki dan seorang wanita tempatan berumur 36 hingga 44 tahun ditangkap dengan pelbagai jenis dadah dirampas.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bagi sindiket ketiga berjumlah RM1.9 juta," katanya.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Sindiket-sindiket ini mula dikesan beroperasi sejak tiga bulan lepas. Siasatan masih dijalankan untuk mengesan ahli-ahli sindiket yang terlibat," katanya.