SHAH ALAM: Penjawat awam kumpulan paling ramai ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor berkaitan siasatan kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa sepanjang tempoh antara 2018 hingga 2022.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim berkata, daripada 314 tangkapan yang dilakukan sepanjang tempoh itu, sejumlah 170 daripadanya adalah penjawat awam.
Katanya, ia diikuti 84 tangkapan membabitkan pekerja swasta, 50 orang awam, serta masing-masing lima membabitkan ahli politik dan individu dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Sepanjang tempoh sejak 2008 itu, tahun 2022 merekodkan tangkapan tertinggi iaitu dengan 72 orang diikuti 66 pada 2018 dan 63 pada 2021.
"Hasil tangkapan itu, SPRM Selangor membuka 269 kertas siasatan berkaitan kes rasuah dengan 135 pertuduhan di mahkamah," katanya melalui kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tahun 2020 menunjukkan pembukaan kertas siasatan tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu sebanyak 64 kertas siasatan, diikuti 2019 (57) dan 2022 (50).
Katanya, dalam tempoh sama SPRM Selangor menerima 1,764 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
"Pada 2018, sebanyak 378 maklumat diterima, diikuti 344 pada 2019 dan 331 pada 2022.
"SPRM Selangor turut mencatatkan sitaan berjumlah RM366,845 selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM1,768,554.89," katanya.
Selain siasatan berkaitan kes rasuah di Selangor, katanya, badan itu turut melaksanakan pencegahan rasuah melalui pemeriksaan ke atas amalan, sistem serta prosedur sektor awam dan swasta bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah.
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan 406 ceramah khusus buat kumpulan sasar dengan 721 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.