KUCHING : Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai ketika bermain di tebing Sungai Sabang, di Kampung Tambirat, Asajaya petang semalam ditemui lemas, hari ini.
Mayat mangsa, Mohamad Nudin Irfan Rahman, 8, ditemui oleh orang awam pada jam 11.20 pagi berdekatan tempat dia dikatakan terjatuh.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Laporan kejadian mamgsa terjatuh di tebing sungai itu dibuat pada jam 4.50 petang semalam.
Susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya digerakkan ke
lokasi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini tertumpu dalam radius 500 meter dari kawasan mangsa dikatakan terjatuh sebelum mayat berjaya ditemui.