Selasa, 21 Februari 2023 | 5:54pm
Mayat mangsa yang lemas di Pantai Teluk Cempedak semalam, ditemui di Pantai Tembeling Resort, Kuantan petang tadi. - Foto ihsan APM dan Bomba
Mayat mangsa yang lemas di Pantai Teluk Cempedak semalam, ditemui di Pantai Tembeling Resort, Kuantan petang tadi. - Foto ihsan APM dan Bomba

Mayat remaja ditemui 3km dari Pantai Teluk Cempedak

KUANTAN: Remaja yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Teluk Cempedak semalam ditemui terdampar di Pantai Tembeling Resort, di sini, hari ini.

Mayatnya ditemukan pada jam 2.40 petang tadi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman, berkata orang awam yang berada di lokasi menemui mangsa dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Sepasukan anggota penyelamat bergegas ke lokasi dan mayat kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya.

Beliau berkata, susulan penemuan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditamatkan kira-kira jam 3 petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, Muhamad Ikhmal Hakim Ahmad, 20, dilaporkan hilang ketika mandi di pantai berkenaan bersama dua lagi rakannya.

SAR digerakkan susulan laporan kejadian itu membabitkan 49 anggota penyelamat dan 12 aset, termasuk milik APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Berita Harian X