Ahad, 19 Februari 2023 | 6:54pm

Dua syarikat agensi pekerjaan sah disyaki dalang sindiket penipuan kerja luar negara

SEPANG: Dua syarikat agensi pekerjaan sah di negara ini dikesan mendalangi aktiviti merekrut rakyat tempatan untuk dihantar bekerja dengan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Taktik syarikat terbabit bagaimanapun terbongkar susulan penahanan beberapa individu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata syarikat itu adalah agensi pekerjaan sah yang menjalankan aktiviti mmbawa pekerja asing bekerja di negara ini dalam pelbagai sektor.

Bagaimanapun, katanya, syarikat yang bertopengkan agensi pekerjaan sah itu cuba menjerat mangsa di negara ini dan dihantar bekerja dengan sindiket di luar negara.

"Dua syarikat itu kini disiasat oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) bagi mengetahui modus operandi mereka yang sanggup merekrut pekerja untuk dihantar ke luar negara sebelum mangsa terkandas," katanya pada sidang media kejayaan membawa pulang lima rakyat Malaysia yang ditipu sindiket penipuan pekerjaan di Thailand, hari ini.

Abd Jalil berkata, terdapat pelbagai sindiket penipuan pekerjaan yang aktif merekrut rakyat negara ini untuk dihantar bekerja ke luar negara namun fokus utama PDRM adalah untuk mengenal pasti dalang sebenar kumpulan jenayah terbabit.

"Ada pelbagai sindiket, tetapi kita sedang cari dalang, saya percaya dalang sindiket ada di Malaysia dan Thailand, mereka bekerjasama antara satu sama lain," katanya.

Mengulas berhubung taktik merekrut yang digunakan oleh sindiket, Abd Jalil berkata, kebanyakan mangsa terpedaya dengan tawaran gaji lumayan sehingga AS$2,000 (RM9,600).

"Namun, ia (tawaran gaji) sepatutnya menjadi tanda tanya apabila syarikat di luar negara sanggup membayar individu tanpa kelulusan, tanpa pengalaman dengan gaji setinggi itu.

"Jadi perkara seperti ini (tawaran) perlu fikir sehingga 10 kali walaupun ia diusahakan oleh syarikat agensi pekerjaan sah tetapi orang awam tetap perlu berhati-hati, buat semakan dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Buruh dan kementerian berkaitan sama ada benarkah ada tawaran dengan gaji seumpama itu," katanya.

Selain itu, beliau berkata, setakat Februari lalu, pihaknya sudah menerima 267 laporan membabitkan 339 mangsa penipuan kerja yang terkandas di luar negara terutama di Myanmar, Laos, Thailand dan beberapa lagi negara ASEAN.

"Daripada jumlah itu, seramai 218 orang berjaya diselamatkan manakala 121 lagi masih terkandas di luar negara. Ini termasuk 14 orang lagi yang masih berada di Thailand atau sempadan negara terbabit," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lima rakyat Malaysia iaitu Adam Iskandar Tukiman, 20; Akmar Hamsan, 19; Kamil Abd Hamid, 25; Nur Fitriani Abdullah, 19, dan Lee Zhi Cong berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan siber yang berpengkalan di Myanmar.

Kesemua mangsa diselamatkan hasil maklumat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.

Mereka diselamatkan oleh sepasukan Tentera Thai di KK Gardens di Myawaddy, Myanmar pada 3 Februari lalu sebelum dibawa ke Bangkok.

Difahamkan, kesemua mangsa dipaksa bekerja untuk sindiket penipuan yang berpangkalan di KK Garden, sebuah kawasan luas yang menempatkan beberapa syarikat yang terletak di sepanjang Sungai Moei di bandar sempadan Thailand, Mae Sot.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan bertemu lima mangsa penipuan kerja pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/Asyraf Hamzah
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan bertemu lima mangsa penipuan kerja pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X