Rabu, 15 Februari 2023 | 6:10pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Geng samun guna parang tumpas

SEREMBAN: Polis menumpaskan kegiatan samun berkumpulan menggunakan parang yang dikesan aktif sejak pertengahan tahun lalu di sekitar Mantin, Nilai, dan Selangor dengan kerugian lebih RM230,000.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata pihaknya menahan 15 suspek berusia antara 25 hingga 41 tahun dalam beberapa siri serbuan dalam operasi khas Op Tajam Mantin pada 26 Januari hingga 3 Februari lalu.

"Sejak kebelakangan ini berlaku beberapa kejadian samun dan pecah premis kedai yang dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki warga tempatan sekitar kawasan Mantin.

"Kumpulan ini bergiat aktif sejak pertengahan 2022. Mereka sangat agresif dalam melakukan kegiatan samun dengan setiap ahli bersenjatakan parang," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes samun, pecah rumah, curi kenderaan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Dengan kejayaan ini, Kontinjen Negeri Sembilan berjaya menyelesaikan 18 kes dilakukan kumpulan ini yang mana 13 kes di Negeri Sembilan dan lima kes lagi di Selangor membabitkan kerugian berjumlah RM231,631.50," katanya.

Beliau berkata kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan untuk arahan dituduh di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah, Seksyen 414 Kanun Keseksaan (melupuskan harta curi) dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (gagal menjelaskan wang dalam akaun).

Berita Harian X