SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat semula siasatan dakwaan kes salah guna wang zakat yang dikaitkan dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan kes itu dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.
Katanya, siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat MAINS itu sudah dibuka dan disiasat pada tahun 2019 dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa.
"Kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Media pada 8 Januari lalu melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit.
Susulan itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dilaporkan berkata, siasatan berhubung isu berkenaan sudah selesai dijalankan pada 2019.
Beliau berkata, hasil siasatan tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah mengikut Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, MAINS pula membuat laporan polis susulan daripada tohmahan dan fitnah yang disebarkan pada 2019. MAINS sudah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial terbabit.
Sejak tiga minggu lalu isu mengenai wang zakat MAINS kembali diperkatakan selepas ia didedahkan semula menerusi aplikasi Telegram.